Banjir
ORANG jual ikan tiga hari dah tak datang. Mamak jual roti pun tak boleh masuk kampung. Mak tak ada makanan. Banjir dah sampai ke paras dada..."Belum sempat saya berkata apa-apa, suara di hujung sana terus meluah isi hatinya yang bagaikan terpendam sekian lama. Pada ruang yang tidak kedengaran suaranya, mungkin sedang menarik nafas yang tersumbat akibat luahan hati yang terburu-buru tanpa mengenali dengan siapa dia bercakap, saya menyelit soal.
"Dah tu, macam mana?"
Dia memanggil saya dengan nama yang tidak tercatat pada kad pengenalan, atau nama panggilan sejak saya dilahirkan. Siapakah empunya suara tua yang gusar di hujung talian sana? Seperti saya yang terburu-buru mendail nombor telefon rumah teman yang baru diberikan pagi tadi, suara tua itu juga pantas mengatur kata, selaju jejari saya menekan salah ke nombor telefon dia. Selepas meluahkan isi hati yang sesetengahnya tidak saya fahami, suara tua itu menamatkan pengkisahan dengan penghargaan dan pesanan.
"Terima kasihlah. Nana telefon juga tanya khabar mak. Abang kau tu, duduk saja dekat, tak jenguk langsung, emak hidupkah mati, dalam banjir ini! Kirim salam pada suami dan anak-anak kau."
Tanpa sempat saya membetulkan tanggapan, suara itu terputus dalam hujan yang sudah empat hari empat malam, lebat dan renyai menyilih ganti. Radio dan televisyen lebih kerap menyiarkan berita terkini. Aktiviti laut wajib ditangguhkan. Ikan di pasar berhampiran rumah saya melambungkan harga ke paras menakjubkan. Ada jiran yang menghidap darah tinggi telah merungut sakit kepala kerana menu harian mereka bukan lagi ikan basah, tapi ikan kering, ayam, daging dan telur telah mengambil tempat di meja hidangan. Ya Allah, saya tidak boleh menelan.
Suara tua yang tadinya meluahkan isi hati, tanpa memberi saya walau sedikit kesempatan untuk menerangkan, bahawa saya bukanlah Nana, anak perempuan yang disangka berbicara dengannya tadi menujah-nujah telinga. Saya capai telefon, mencari di menu panggilan keluar. Saya tekan butang panggilan ke nombor itu sekali lagi. Tiada jawapan! Saya menunggu hingga deringan berakhir. Masih juga begitu! Ke mana dia? Mungkinkah keluar membeli makanan? Dekatkah jauh, tempat yang dituju? Rumahnya di mana? Bolehkah dia ke sana?
nyawa
Adakah kedai yang masih di buka dalam banjir yang saya lihat di kaca televisyen telah melepasi paras tingkap rumah di tingkat bawah. Lebih buruk lagi, banjir kali ini telah menelan dua nyawa. Tapi adunya tadi, dia tidak turun ke dapur atau ke mana-mana.
"Mak takut ular."
Getar suaranya menggegarkan perasaan saya. Kalau dia takut hendak turun, tentu dia tidak pergi ke kedai. Tapi katanya tadi, makanan sudah habis. Jiran-jiran semua dah berpindah ke pusat pemindahan. Cuma dia seorang saja yang tidak pergi. Kenapa begini?
Saya langsung tidak berkesempatan menyelit soal. Mungkinkah dia sedang menanti kedatangan anak lelakinya? Tapi katanya, sudah tiga bulan anak lelakinya tidak datang ke rumah, mahupun menelefon bertanya khabar. Ke mana perginya tubuh yang menyimpan suara tua itu dalam banjir begini? Saya telefon sekali lagi, menunggu hingga ke hujung deringan. Dia menjawab. Termengah-mengah, juga masih tidak memberi ruang tanya kepada saya.
"Mak solat zuhur tadi. Jangan bimbang dengan mak. Ikan kering ada, cabai kering pun ada. Kalau habis semua tu, mak makan nasi dengan garamlah. Jaga anak dengan suami kau baik-baik, assalamualaikum."
Sederas jawapan yang menyembur dari hujung sana, sepantas itu juga telefon diletakkan! Mengapa jasad yang mengeluarkan suara tua itu, langsung tidak memberi ruang untuk saya berbicara? Atau telinganya sudah tidak mampu mendengar kata. Ataukah memang benar, dia bimbangkan bil telefon 'anak' ini akan jadi seperti harga ikan di pasar kami. Atau mungkin juga dia keliru, antara pemanggil dan orang yang dipanggil, siapa yang kena keluar bayaran?
Bagaimana saya hendak menelan, dalam getar suara dari mulut tua yang hanya ada nasi berteman ikan kering dan sambal cabai kering, sebagai penambah tenaga. Ya Allah, izinkan saya menikmati juadah ini dengan tubuh yang tidak saya kenali itu.
Saya ingin kepuasan menyenduk nasi ke pinggan emak lebih dulu, sebelum meletakkannya ke pinggan saya, berulang kepada jasad empunya suara yang kedengaran merindui sangat anak-anaknya.
Saya inginkan saat itu. Sungguh teringin. Saya rindu ya Allah. Saya nak sangat-sangat melakukannya! Bukan kerana ada lensa kamera yang menghala ke wajah saya. Bukan kerana hendak memenuhi impian satu Malaysia. Namun, inilah harapan yang tiba-tiba tumbuh merimbun sebaik saya mendengar suara tua di hujung talian yang saya tidak tahu di mana. Tapi saya yakin, suara itu bermukim tidak jauh dari kampung saya, kerana tujuh angka nombornya, sama macam tujuh angka pertama nombor telefon Ameera yang cuma rumahnya berjarak tidak sampai enam kilometer dari kediaman saya.
mendekati
Saya yakin sungguh. Benar-benar yakin! Suara tua itu tidak jauh, sebab saya ingin sangat-sangat hendak mendekati. Pasti kerinduan pada anak-anaknya amat menikam, sehingga hati saya telah merasai bisanya. Ya Allah, permudahkanlah saya untuk mencari rumah yang memberi perlindungan kepada tubuh tua itu, dalam banjir di rumahnya yang telah sampai ke paras dada. Saya dapat menyentuh kecutnya hati dia setelah tiga hari, sebahagian dari rumahnya direndam kesejukan.
Sesak nafas saya, merasai kecungapan harapannya yang telah lemas di atas tadahan tangan, sehingga tidak mampu di tahan lagi. Lalu dia membiarkan harapan itu ditenggelami kesuntukan masa anak-anak yang amat dirindui. Ingin benar saya satukan rindu yang sarat dari tubuh bernafas tua itu dengan rindu yang mencengkam sukma, sejak emak saya diambil kembali oleh pencipta-Nya. Ya Allah, sejahterakanlah pertemuan dua kerinduan yang amat tidak tertanggung ini. Saya mencari buku panduan telefon. Alhamdulillah, saya selalu mendapat bantuan Allah dalam setiap usaha. Menulis dengan teliti alamat rumah dari nombor telefon yang tertera.
Menarik dan melepas nafas berkali-kali, memang amalan saya apabila berbicara dengan diri. Mengulang lagi dan bertanya hati. Itu pesanan allahyarham bapa yang sentiasa saya patuhi. Apakah saya benar-benar bersedia menghadapi pertemuan ini?
"Oh, Nek Piah tu memang tak pindah!"
Suara jawapan dan suara iringan pertemuan yang baru lima minit pada petang ini memerhati bungkusan dalam kedua-dua beg plastik yang berat di tangan saya.
Selepas bersoal jawab, anak-anak remaja yang bermain sampan sehingga ke jalan besar, tempat saya turun dari lori yang saya tumpangi, menghantar harapan hati ke rumah empunya suara dari tubuh tua itu. Saya melangkah ke anak tangga di pintu hadapan rumah usangnya. Remaja yang menghantar saya menakalkan diri meranduk air separas leher. Kenapa tubuh tua Nek Piah hendak bertahan dalam banjir seperti ini?
Dia membuka pintu sebaik mendengar salam ketiga saya. Lukisan ceria di wajah tua yang melontar getar suaranya tengahari tadi, teruja menyalam perkenalan.
Ingin sangat saya memeluknya bagi menyerah kasih anak, bahawa saya diutus Allah untuk mengangkat hasratnya yang terpendam di lembah kepiluan. Mak Piah merenung cari jawapan dari muka, sebaik saja saya meletak bungkusan takdir, di atas lantai yang beralas warna keikhlasan pada tikar mengkuangnya. Saya membiarkan dia meneroka jawab, sambil saya sendiri menyelami kerinduan pada wajah yang berusia hampir sebaya emak saya, sewaktu melepaskan nafas terakhirnya. Tidak tergamak hati ini membiarkan dia menyelongkar fikir, mencari jawapan yang hanya semudah saya menekan sebiji butang di telefon bimbit yang tersalah masuk, ke talian rumahnya.
Saya mengeluarkan bungkusan lauk dan nasi yang saya angkat dari meja hidangan, selepas getar suara Mak Piah menyelinap ke urat hati.
"Nana..."
"Nana suruh cik…hantar semua ni? Dia masak sendirikan?"
Mak Piah memang peramah yang teramat sangat. Saya pun menikmati resipi pembohongan yang terpampang tiba-tiba! Ya Allah, ampunkan saya kalau ini dapat membahagiakan hati wanita yang jelas teramat sangat, sedang merindui anak cucunya.
Saya tidak perlu banyak berbohong untuk menyambung keramahan bicaranya, kerana Mak Piah lancar menyoal dan menjawab segera! Dari Nubhan, anak sulung yang sentiasa tunduk pada isteri, sehinggalah kepada Nana, anak bongsu yang takutkan suami.
Saya merakam cerita dalam lautan fikir yang masih tidak mampu menerima kenyataan, masih ada manusia yang tergamak memisahkan anak dari ibu tua mereka.
"Nana sihat? Anak-anak dia macam mana? Suami dia..."
Sampai di situ, suara Mak Piah terhenti. Ya Allah, apa yang saya nak jawab ni?
"Pasal apa Mak Piah tak pindah ke pusat pemindahan, sama jiran-jiran?"
Allah melorongkan soal itu dari mulut saya. Mak Piah mengesat mata. Tidak mungkin salah soalan saya.
"Banjir dulu, pindah juga ke pusat pemindahan, tapi susah. Mak Piah ni kencing kerap, kadang-kadang tak sempat ke bilik air. Kali ni, biarlah duduk di rumah. Daripada sakit telinga dengar umpat caci orang. Lebih baik menahan lapar di rumah sendiri."
Ya Allah, macam inikah saya apabila tua nanti?
"Tak apa Mak Piah, selagi banjir tak surut, saya akan temankan Mak Piah." Sebaik terlepas perkataan terakhir dari mulut saya, Mak Piah menerkam peluk ke tubuh yang telah lama tidak di dakap ibu.
"Terima kasih....terima kasih"
Ucapnya bertubi-kali, seperti ucapan dan pelukan emak, sewaktu saya membelikan pokok bunga mawar sebagai hadiah hari lahirnya. Terungkai saja rangkulannya, Mak Piah merenung saya. Juraian air matanya, jelas meluahkan bahagia.
"Mari kita makan!"
Saya mengajak cepat dan dia juga pantas menyoal.
"Nana masak semua ni? Dia minta tolong cik hantar kepada Mak Piah?"
Ya Allah, banjir kebahagiaan di mata tuanya, telah tenggelamsembunyikan sejenis penipuan. Jika ini satu dosa, ampunkan saya ya Allah kerana bahagia menjadi pendusta.
Selesai makan dan menolong basuh dan simpan daging, ayam, ikan, sayur dan buah-buahan ke dalam peti sejuknya, saya minta diri dengan janji akan mengunjunginya lagi. Mak Piah mengirim salam kasihnya, kepada Nana yang tidak saya kenali.
menonton
Malam itu saya dipeluk kepanasan demam. Lima hari berlalu, baru saya bangun hendak menunaikan janji, selepas menonton banjir yang telah surut di kaca televisyen. Kenapa orang ramai membanjiri perkarangan rumah Mak Piah? Belum sempat saya melangkah masuk, usungan jenazah di bawa keluar. Saya mengikut sehingga ke tanah perkuburan. Apabila orang ramai meninggalkan kawasan, mata saya menanda soal ke wajah wanita yang merenung keharuan seorang lelaki, mengusap kepiluan tanah yang baru ditimbusi.
"Cik ini...Nana?"
Anak bongsu Mak Piah seperti ibunya. Saya tidak perlu banyak bertanya, kerana dia menjawab lebih dari soalan. Dari kesalan abangnya yang membiarkan kongkongan isteri, sehinggalah kepiluan hatinya, tidak diizin suami membantu ibunya membersihkan rumah selepas banjir, sehingga menyebabkan Mak Piah tergelincir jatuh. Kepalanya berdarah. Setelah tubuhnya membatu, barulah jenazah itu ditemui tetangga.
"Dua hari sebelum itu, dia bercerita pada jiran-jiran. Katanya, saya kirimkan makanan semasa banjir melanda. Seronok sangat dia dengan kiriman saya."
Nana sebak dalam tanda soal. Matanya menyimpan takungan. Tidak seperti mata allahyarhamah Mak Piah yang banjir dengan kebahagiaan.
"Tapi saya tak pernah kirimkan apa-apa pada emak. Tak pernah telefon, sebab emak tak berapa dengar. Kalau tak tengok muka, tak perhati gerak bibir, dia tak faham."
Saya membiarkan Nana meluah emosi dan takungan di matanya yang telah membanjiri pipi. Abangnya terus mengusap permukaan tanah yang ditimbusnya tadi.
"Mulianya hati emak. Sanggup berbohong pada masyarakat. Emak menjulang nama saya, nama anak yang tak bertanggungjawab ini. Saya tak pernah hantar makanan, apatah lagi buah, barang dapur, tak pernah pun. Saya tak bagi apa-apa. Sungguh."
Nana terus meraung. Dalam keterharuan mengenangkan kebahagiaan Mak Piah di hujung usianya, saya memimpin Nana keluar dari kawasan perkuburan. Bukanlah kerana hendak memberhentikan tangisan!
No comments:
Post a Comment